Saturday, March 17, 2012

aspura anti-aspuri




بسم الله الرحمن الرحيم

4

Zaman persekolahan…

Semua pelajar telah meninggalkan bangunan akademik. Ketika berjalan bersama pelajar yang lain untuk ke asrama, aku tiba-tiba teringat buku Lelaki Soleh yang tertinggal di atas meja kelasku.

“Aku nak balik ke kelas kejap. Nak ambil barang tertinggal,” aku meminta izin kawan-kawanku untuk tidak menyertai mereka menuju ke asrama.

Sambil berlari-lari anak, aku masuk ke kelas 4 Umar al-Khatab. Buku berwarna kuning kesayanganku itu tergeletak kemas tanpa terusik sedikitpun kedudukannya ketika aku selesai membacanya tadi. Dengan senang hati, aku mengambil buku itu.

“Maaf, pelajar tak dibenarkan duduk di kelas antara pukul 2 petang hingga 3 petang. Ini peraturan sekolah,” seorang pengawas menegurku dari luar pintu kelas.

“Saya cuma nak ambil buku saya,” jelasku sambil menunjukkan buku tersebut.

“Mengapa tak ambil waktu prep saja?” tanya pengawas itu. “Maaflah, saya terpaksa ambil nama awak. Nama awak?” tanya pengawas itu sambil mengeluarkan buku catatannya.

“Tak bolehkah awak consider sikit? Lagipun saya bukannya mencuri!” Aku cuba mempertahankan diriku.

Pengawas itu mengangkat mukanya – serius. “Awak pelajar baru, kan?”

Aku mengangguk.

“Awak sepatutnya menjaga rekod pelajar baru awak agar tidak dilabel sebagai pelajar kurang berdisiplin. Saya dimaklumkan, pelajar pengambilan tingkatan empat telah diberi briefing tentang disiplin sekolah ini. Jangan disalahgunakan perkataan – ‘Saya budak baru dan saya tak tahu peraturan di sini!’ Sekali lagi, nama awak?”

“Muhammad Addin bin Mustaqim,” jawabku akur. “Kalau tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.”

Aku berjalan melintasi pengawas itu tanpa menoleh sedikitpun. Antara peraturan dalam kumpulan 4A – dilarang berbual tanpa sebab dengan pelajar perempuan dan dilarang memandang mereka dengan sengaja.

Tidak berapa lama aku meninggalkan kelas, aku terdengar bunyi sesuatu mengaduh kesakitan. Kutoleh ke belakang dan mendapati pengawas tadi sedang melutut di koridor kelasku sambil menekan perutnya. Dengan berasa tanggungjawab, aku berpatah semula ke kelas.

“Awak tak apa-apakah?”

“Awak pergi! Pergi!” tegas pengawas itu sambil cuba berdiri sementara tangannya masih menekan perut.

Dia terciritkah? Soalku dalam hati. Namun, tiba-tiba aku tahu apa yang menyebabkan dia kesakitan. Aku terlihat baju sekolahnya bahagian belakang berlumuran darah. Ya ALLAH, dia cedera! Serta-merta pengawas itu termelutut semula.

Tanpa berfikir panjang, aku terus mengangkat pengawas itu. Aku takut dia mati di depan mataku. Kulihat wajah pengawas itu pucat seperti mayat dan bawah matanya berwarna hitam seperti pontianak. Oleh itu, lebih baik aku menyelamatkan nyawanya.

“Eh, apa awak buat ni! Lepaskan saya! Lepaskan saya!” pengawas itu memukul-mukul dadaku.

Aku tidak mengendahkan pukulan itu. Tujuan aku sekarang hanyalah menyelamatkan pengawas itu dengan menghantarkannya ke bilik guru. Nanti dia boleh dibawa ke hospital.

Akhirnya aku sampai di bilik guru. Aku berasa lega kerana bilik tersebut masih penuh dengan guru-guru dan beberapa pelajar yang mungkin bertanya tentang pelajaran atau program. Pengawas itu terjerit-jerit ketika aku masuk ke bilik guru. Mungkin rohnya dah sampai halkum agaknya, pasal tu dia terjerit-jerit kesakitan – fikirku.

Keriuhan yang datang dari pengawas itu serta-merta mendapat perhatian semua orang dalam bilik guru. Seorang guru yang paling dekat dengan pintu meluru mendapatkan pengawas itu.

“Mengapa dengan dia?” tanya Cik Suwitah selepas aku menurunkan pengawas itu ke kerusi yang ditarik oleh cikgu tersebut. Lantas, aku menjarakkan diriku.

Kami berdua mulai dikerumuni oleh guru-guru sementara pengawas itu mulai menangis. Ramai yang terkejut melihat baju putihku berdarah – terkena darah ketika mengangkat pengawas itu. Bilik guru tersebut mulai riuh-rendah.

“Cikgu, bawa dia segera ke hospital! Dia cedera parah! Cepat cikgu, ini kecemasan!” ujarku.

“Mengapa dengan dia?” ulang Cik Suwitah.

“Dia cedera parah cikgu. Tadi, tiba-tiba dia melutut dan saya lihat dia berdarah!” jelasku lantas membuat esakan pengawas itu lebih kuat sambil menutup wajahnya.

“Di mana yang cedera parah?” tanya seorang guru yang lain – ketika itu aku belum kenal semua nama guru.

“Belakang dia!” jawabku pantas.

Beberapa orang guru kulihat sedang berbisik-bisik. Tiba-tiba wajah beberapa orang guru lelaki berubah seperti menahan tawa sementara guru-guru wanita menyuruh semua lelaki yang ada di situ termasuk aku untuk meninggalkan bilik guru.

Aku keluar bersama pelajar-pelajar lelaki yang turut berkumpul melihat kejadian itu. Seorang pelajar tingkatan lima menarik aku jauh dari bilik guru. Dia ketawa terbahak-bahak ketika menarik aku. Pelajar yang lain membuntuti langkah kami.

“Kau tahu tak darah apa yang melekat di baju kau ni?” tanyanya. “Dan kau tahu tak apa yang membuat pengawas itu berdarah?”

Aku menggeleng kepala.

“Pengawas tu sedang datang bulan. Dan ini darah bulanan perempuan! Hahaha…” pelajar tingkatan lima itu tertawa diikuti oleh pelajar yang lain.

Mataku terbeliak! Dan permusuhan telah tercetus disebabkan kebodohanku! Sungguh! Aku tak suka bermusuh! Dan sungguh! Aku tidak arif tentang perempuan!

Doa Ketika Ditimpa Sesuatu yang Tidak Disukai

 Allah sudah mentakdirkan (menentukan) sesuatu yang dikehendakinya.






بسم الله الرحمن الرحيم

5

Zaman sekarang…

“Hidung awak dah okey belum?” tanya Noni 3A ketika menghidangkan sarapan pagi untuk kami berdua. Wajahnya masih takut-takut.

“Saya lebih rela dapat sakit macam ni daripada sakit hilang ingatan,” ujarku selamba.

Noni 3A mengerutkan keningnya. “Awak ada penyakit hilang ingatan? Hmm… sekarang ni awak kenal saya tak?"

Aku tertawa kelucuan. “Saya hilang ingatan selepas bangun tidur saja. Tak lama lepas tu okey semula.”

“Tak pernah saya dengar penyakit macam tu. Awak ni kes pertamalah ya?”

Aku mengangkat bahu. “Entahlah. Agaknya kot.”

“Awak tak pernah berubatkah?” Noni 3A mulai bertanya seperti seorang polis menyoal siasat penjenayah.

“Dah banyak kali saya berubat. Bermacam-macam rawatan saya buat. Tapi ALLAH SWT belum mengizinkan saya untuk sembuh. Mungkin ada hikmah di sebalik penyakit ni yang saya belum ketahui,” ujarku panjang lebar.

Noni 3A mengangguk. Aku tak tahu untuk apa dia mengangguk. Sama ada dia faham atau pun ingin menandakan bahawa perbualan tamat setakat itu saja.

Selepas menghabiskan sarapan yang disediakan, aku mengambil kunci kereta yang tersimpan di dalam mangkuk kaca khas di atas meja. Noni 3A tergesa-gesa dari dapur menuju ke pintu utama.

“Addin!” panggilnya.

Aku menoleh, “Ya, mengapa?”

Sambil membetulkan tudungnya, dia melangkah menuju kereta.

“Petang ni boleh tak awak balik awal sikit? Saya nak beli barang,” ujarnya.

“Eh, bukankah dua hari lepas kita dah berbelanja barang dapur? Tak kan dah habis?” aku kebingungan.

“Bukan nak beli barang dapurlah,” dia mencebik. “Saya nak beli sedikit barang.”

“Hmm… yalah kalau macam tu. Jumpa awak petang ni. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Petang itu, seperti yang dirancangkan, kami bertolak ke pusat membeli barang yang dimaksudkan Noni 3A. Dalam perjalan, dia menjadi penunjuk arah sementara aku memandu mengikut arahannya. Aku memberhentikan kereta di hadapan semua pusat farmasi – Farmasi Syifa’ Muslim.

“Awak nak ikut tak?” tanyanya ketika aku mematikan enjin.

“Hmm… takpelah. Saya tunggu dalam kereta saja.”

Sememangnya aku keletihan ketika itu. Mana tidaknya, balik saja dari pejabat terus keluar semula untuk memandu Noni 3A. Radio Ikim kupasang, mendengar celoteh juruhebahnya dalam bahasa arab. Tidak lama kemudian, aku terlelap sehinggalah tingkap keretaku diketuk.

“Maaflah buat awak lama menunggu,” ujar Noni 3A selepas masuk ke dalam kereta.

“Awak beli apa?” Mataku melirik pada bungkusan yang dibawanya.

Noni 3A tersenyum. Wah, menawan sekali senyumannya! Jantungku berdegup kencang seperti genderang mahu perang – seperti lirik lagi Ingin Bercinta.

“Semua ni saya belikan untuk merawat penyakit ‘hilang ingatan selepas bangun tidur’ awak tu,” ujarnya sambil mengangkat bungkusan itu.

“Mengapa awak susah-susah nak belikan untuk saya?”

Noni 3A mencebik. “Pasal saya tak nak awak anggap saya sebagai orang asing ketika saya kejutkan awak. Sedih tau kalau ‘suami’ tak kenal ‘isteri’ walau sesaat.” Ketika mengungkapkan ayat terakhir, aku dapat melihat pipi Noni 3A bertukar merah.

“Hmm…” sambil memulakan pemanduan, aku menyambung perbualan kami. “Berapa yang awak bayar tadi. Biar saya bayar semula dengan awak.”

“Eh, tak perlu! Lagipun duit yang saya gunakan tu ialah duit lebihan belanja barang dapur hari tu. Saya cuma tambah sikit saja,” Noni 3A menolak selembut mungkin tawaranku tadi.

“Terima kasih, Nurri.” Dan mulai saat itu aku mulai memanggilnya dengan nama sebenarnya – Nurri yakni ‘cahayaku’. Syukur alhamdulillah aku dikurniakan isteri sepertinya. At least, she brights my life!

Hak atas Pasangan Suami Isteri

Sabda Rasulullah saw. di Haji Wada', "Ketahuilah, bahwa kalian mempunyai hak-hak atas wanita-wanita (isteri-isteri) kalian, dan sesungguhnya wanita-wanita (isteri-isteri) kalian mempunyai hak-hak atas kalian." (Diriwayatkan para pemilik Sunan dan At-Tirmidzi men-shahih-kan hadits ini).

Bersambung...

*SELAMATMEMBACE!!!! jgn frust dalaa... =D..

No comments: