Saturday, March 24, 2012

aspura anti aspuri



8

Zaman persekolahan...

Aku terhendap-hendap di hadapan bangunan akademik. Menanti kemunculan Noni 3A untuk meronda bangunan tersebut. Aku dah tahu jadual bertugasnya – Rabu selepas kelas dan Jumaat selepas prep petang.

Semenjak kejadian tempoh hari, dia telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan membawa ‘rakan setugas’. Manalah tahu dia senggugut lagi. Tetapi aku tahu, rakan setugasnya itu selalu memeriksa kelas yang berasingan.

Akhirnya, setelah lima belas minit pelajar-pelajar meninggalkan bangunan akademik selepas prep petang – Noni 3A kelihatan berjalan di koridor tingkat tiga. Dengan langkah yang tersangatlah senyapnya, aku menuju ke arahnya.

“Noni!” seruku dari belakangnya.

Noni 3A menoleh! Serta-merta dia menjerit – “Mak!!!”

Aku menjadi gelabah ketika itu. Jeritan Noni 3A – aku yakin – dapat didengari seantero kawasan sekolah.

“Shh! Shh!” Aku menyuruhnya diam namun dia berdegil. Malah tindakan seterusnya lebih dahsyat. Dia melempar buku catatannya ke arahku.

Zupp! Sempatku elak. Kemudian dia membaling pula pennya kepadaku. Zupp! Aku dapat elak lagi. Dan tiba-tiba…

PONG!!!

Kepalaku pitam. Pandanganku kala itu perlahan-lahan menjadi gelap. Oh, aku menghampiri pengsan! Namun, kugagahkan diri melangkah mendekati Noni 3A. Dan sekali lagi…

PONG!!!

Dua kali lagi…

PONG!!! PONG!!!

Aku pengsan.

Dua jam. Tiga jam. Entahlah, aku sendiri tidak tahu berapa lama aku terlantar di bilik sakit ini. Namun, apa yang aku tahu, aku telah terlepas latihan hoki. Langit di luar tingkap menunjukkan senja menghampiri Maghrib.

“Itulah. Lain kali jangan nak mengacau anak dara orang. Perbuatan tu tak elok. Berdosa!” ujar Cikgu Kamil, guru bahagian kesihatan.

“Mengapa saya di sini, cikgu?” tanyaku sambil menyentuh belakang kepalaku yang berdenyut-denyut. “Auchh!” aduhku ketika tersentuh benjolan sebesar bola golf di kepalaku.

“Fazilah, kawan Nurri, pukul kepala kamu dengan replika Menara Kuala Lumpur. Replika tu diambil dari kelas yang satu lagi – sebelah kelas kamu nak kacau Nurri!” jawab Cikgu Kamil selamba sambil menanda buku-buku pelajarnya.

“Saya apa?” tanyaku terkejut. “Saya nak kacau Nurri? Siapa yang pandai-pandai mereka cerita ni, cikgu?”

“Aik, kedua-dua pengawas tu sendiri yang cakap yang kamu nak mengusik Nurri ketika dia berseorangan! Nasib baik Fazilah terdengar jeritannya petang tadi,” jawab Cikgu Kamil.

Aku menepuk dahiku. “Mereka salah fahamlah, cikgu! Saya bukannya nak mengusik dia!”

“Habis, mengapa kamu tiba-tiba muncul di belakang dia secara senyap-senyap? Bukankah perbuatan itu sangat mencurigakan? Seolah-olah kamu ingin me…”

“Tidak, cikgu! Tidak!” aku memprotes. “Saya tiada niat nak buat perkara tu. Saya cuma nak mohon maaf daripada Nurri atas kejadian hari tu!”

Cikgu Kamil menutup buku yang sedang diperiksanya tadi. Dia merenung ke dalam anak mataku – mencari kebenaran kata-kataku tadi. Aku tidak mengedipkan mataku. Cuba meyakinkan bahawa aku benar.

“Hmm… saya tak boleh nak buat apa-apa untuk kamu. Saya cuma boleh merawat benjol di kepala kamu tu. Teruk dia pukul – boleh menyebabkan amnesia!” lelucon Cikgu Kamil seraya ketawa mendengar lawaknya sendiri. Perut buncitnya turut berombak-ombak seiring dengan tawanya yang pelik.

Menyedari bahawa aku tidak ketawa, mukanya kembali serius. “Malam ni Cikgu Rosli nak berjumpa dengan kamu di Bilik Disiplin. Kamu beritahulah dia perkara sebenar, okey? Sekarang kamu boleh balik ke asrama.”

Usai mengucap terima kasih, aku meninggalkan bilik tersebut. Kepalaku masih pening-pening namun itu tidak menghalangku daripada memasang sebuah ikrar.

Ya, aku berikrar! Aku tidak akan menuntut kemaafan daripada Noni 3A! Maafkan aku, Abang Azlan. Arahan abang tidak dapat kuturuti! Malam ini, aku akan berdepan dengan musuhku di hadapan beberapa orang guru. Doa, jangan pernah lupa!

Doa Ketika Berhadapan Dengan Musuh

 Cukuplah bagi kami pertolongan Allah dan Allahlah sebaik-baik penolong.



بسم الله الرحمن الرحيم

9

Zaman sekarang…

Hari ini aku sendirian di dalam kereta. Selalunya Nurri turut berada di dalam kereta ini kerana aku perlu menghantarnya ke UIAM. Namun hari ini dia tiada kelas untuk dihadiri. Menarik bukan, aku telah bekerja sedangkan isteriku masih bergelar mahasiswi walaupun hakikatnya usia kami sama – 24 tahun. Tahun ini merupakan tahun ketiga Nurri di universiti antarabangsa tersebut.

Alhamdulillah, ALLAH SWT memberi rezeki kepadaku untuk masuk ke alam pekerjaan lebih awal berbanding rakan-rakan yang sebaya denganku. Sebaik sahaja tamat SPM, aku terus mengambil A-Level di Australia Matriculation (AUSMAT) dalam bidang perakaunan.

Selepas itu aku menyambung pengajian di University of Melbourne, universiti kedua terbaik di negara kanggaru tersebut. Memandangkan aku ditaja oleh Sime Darby Property sejak dari matrikulasi sehingga tamat pengajian di universiti, aku terikat dengan kontrak pekerjaan dalam syarikat agam tersebut. Aku hanya berehat dua bulan sahaja selepas graduasi. Pada bulan seterusnya, aku mulai bekerja – ketika itu aku berumur 22 tahun.

Pendapatanku, alhamdulillah, sangat lumayan sehingga teman-temanku mengusik bahawa aku boleh berkahwin lebih jika aku mahu. Namun, aku punya prinsip. Aku lebih senang untuk mengahwini seorang wanita sahaja sebagai permaisuri hidupku seperti sekarang. Anehnya, bibit-bibit percintaan antara aku dan Nurri lambat berkembang! Segalanya hanya kuserahkan kepada ALLAH SWT.

Pagi-pagi begini, terkandas dalam kesesakan trafik telah menjadi rutin harian bagi setiap pekerja. Hanya radio yang menjadi peneman kebanyakan pemandu. Sudah tentu radio pilihanku ialah Ikim.FM. Radio islami ini sangat berguna untukku yang sedang berusaha mengislahkan diri menjadi lebih beragama.

Jika sebelum ini, aku selalu membuka siaran Era.FM yang memutarkan banyak lagu terkini. Malah, celoteh Pak Nil dan Din Beramboi dalam Riuh Pagi Era menggamatkan lagi suasana dalam konti mereka. Namun, Nurri tidak suka. Nurri langsung tidak ketawa mendengar lelucon mereka berdua.

“Banyak ketawa akan menyebabkan hati kita mati,” tegurnya ketika aku tertawa mendengar lawak Din Beramboi yang ketika itu memainkan watak sebagai tukang jahit kasut.

Hadis Banyak Ketawa Hati Mati

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” [Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi]

“Hati mati disebabkan oleh manusia lalai mengingati ALLAH SWT. Awak mesti pernah dengar hadis ini, kan? Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang mati. Malah ALLAH SWT juga telah berfirman dalam al-Quran iaitu;

“Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak.” [Surah at-Taubah, 9:82]

Saya bukan menolak untuk berhibur. Namun, berhibur itu ada batasannya. Kita tidak boleh berhibur sehingga boleh menyakitkan hati orang lain. Malah, hiburan yang menipu wajar kita tinggalkan. Saya nak mengajak awak untuk berhibur dengan cara yang boleh mendekatkan kita dengan ALLAH. Oleh itu...” Nurri menekan punat radio kereta. Alunan nasyid kemudiannya berkumandang dalam kereta.

Subhanallah! Serta-merta aku berasa tenang dan dalam masa yang sama turut berasa terhibur. Setiap bait kata juruhebah Ikim.FM sangat berhikmah. Semuanya dipetik dari kitab suci al-Quran. Semenjak itu, selera hiburanku berubah kepada hiburan yang lebih islami. Syukur kepadaMU ya ALLAH! Terima kasih juga wahai isteriku, Nurri! Dakwahmu memang menarik.

Ingat Allah Hati Akan Tenang

 (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (emngingati ALLAH). Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia. [Surah Ar-Ra'd, 13:28]

Setelah beberapa lama terperangkap dalam lautan kereta, akhirnya semua kenderaan dapat berjalan dengan lancar. Aku meneruskan perjalanan ke pejabat. Alhamdulillah, aku selamat sampai di sana tanpa terlewat sedikitpun.

Baru sahaja aku melabuhkan punggung di tempatku, telefon bimbitku bergetar. Segera kuseluk poket seluarku dan mengeluarkan alat komunikasi bersaiz kecil itu.

“Assalamualaikum,” salamku sebaik menekan punat hijau.

“Waalaikumussalam,” jawab Nurri – suaranya kedengaran cemas. “Addin, awak di mana sekarang?”

“Saya baru saja sampai di pejabat. Mengapa?”

“Saya ada masalah! Eh, bukan! Kita ada masalah!” dia memperbetul struktur ayatnya.

“Maksud awak?”

“Awak mesti tak percaya kalau saya beritahu awak,” ujar Nurri membuat aku seperti bermain teka-teki. “Ada orang buang anak depan rumah kita!”

Aku terdiam. Cuba untuk memproses ungkapannya sebentar tadi masuk ke dalam kepalaku. Pertama, ada orang buang anak – itu perbuatan salah. Kedua, pembuangan itu bertempat di depan rumahku – itu satu musibah. Hasilnya, perbuatan salah telah menjadi musibah kepada aku dan Nurri!

“Betulkah ni?” tanyaku setelah menangkap maklumat yang disampaikan Nurri.

“Betul. Sekarang bayi tu ada dalam rumah! Di luar sekarang hujan renyai-renyai. Saya takut bayi ni sakit!” jelas Nurri seperti hampir menangis. “Awak, saya tak tahu nak buat apa sekarang ni. Awak baliklah!” rayunya terdesak.

“Baiklah, saya balik sekarang! Awak jangan buat apa-apa sehingga saya sampai, okey?” arahku dengan perasaan cemas.

Setelah mengisi borang keluar awal, aku terus meninggalkan pejabat. Dalam fikiranku mulai berserabut. Huh! Siapa pula yang hilang akal membuang anak di depan rumah aku ni? Dah tiada sikap keperimanusiaankah manusia sekarang ni? Anak dibuang macam sampah sahaja! Nurri, tunggu abang sampai!

bersambung
Selamat membaca!!... =D


No comments: