Tuesday, March 27, 2012

aspura anti-aspuri


بسم الله الرحمن الرحيم

10

Zaman persekolahan…

“Abang Azlan tolonglah faham. Berita tu tak benar!” aku cuba menyakinkan Abang Azlan. Berita tentang aku cuba ‘mengganggu’ kehormatan Noni 3A tersebar dengan pantas di sekolah.

Di mana saja aku berjalan, pasti mata-mata meluat turut bersama dalam perjalananku. Sindiran-sindiran daripada kebanyakan pelajar juga tidak putus-putus menghentamku. Ketika itu, aku berasa sangat lemah. Mahu saja kusumpah pelajar-pelajar yang menyindirku itu. Tetapi itu satu tindakan yang bodoh. Malah boleh memburukkan lagi keadaan yang telah sedia rosak ini.

“Abang tahu, kamu cuba melaksanakan nasihat abang dalam mesyuarat tempoh hari. Tapi, cara kamu tu salah. Bukankah lebih molek kamu membawa teman untuk berjumpa dengannya?” tegur Abang Azlan penuh berhikmah.

Istighfar


Aku minta ampun daripada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.

Aku beristighfar panjang. Mahu saja aku menangis di hadapan Abang Azlan ketika itu kerana kukira dia sebagai abang kandungku sendiri. Ukhuwah kami teramat erat. Namun, egoku sebagai lelaki masih utuh. Tidak mungkin kutumpahkan mutiara jantanku semata-mata kerana tuduhan wanita.

“Apa yang Cikgu Rosli cakap dengan kamu dalam Bilik Disiplin semalam?” tanya Abang Azlan.

“Dia cakap dia tidak akan kenakan hukuman berat kepada saya kerana dia percaya bahawa saya tidak bermaksud untuk menggangu Noni,” jawabku sedikit lega. “Tapi saya tetap mendapat demerit pasal saya berada di bangunan akademik sewaktu pelajar dilarang berada di sana.”

“Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu.” Abang Azlan menepuk bahuku tanda syabas. “Tapi macam mana dengan pemilihan hoki?”

Aku mengeluh kasar. “Saya terlepas untuk pemilihan. Nampaknya tiadalah peluang saya untuk mendapat markah sepuluh peratus dalam kokurikulum.”

Kebimbanganku jelas terpamer di wajah. Sistem kemasukan IPT sekarang memerlukan sepuluh peratus daripada aktiviti kokurikulum manakala selebihnya ialah pencapaian dalam akademik. Penolong Kanan sekolah pernah menjelaskan dalam perhimpunan bahawa walau cemerlang bagaimanapun seseorang pelajar itu, jika tiada peratus dalam kokurikulum maka tiada IPT yang layak untuknya. Itulah yang merisaukan aku sekarang.

“Persoalan tentang markah kokurikulum tu tak perlu kamu risaukan. Abang akan cuba membantu kamu,” Abang Azlan tersenyum mesra.

Mataku lantas membundar – kembali bersemangat!

“Bagaimana?”

“Kamu dah lupakah yang abang ni bekas pembahas terbaik dalam HKSBP tahun lepas?” tanya Abang Azlan, cuba memancingku untuk berfikir lebih kritis.

“Ya, saya tahu. Tapi, apa kaitannya dengan saya?”

“Markah sepuluh peratus yang kamu kejar itu tersimpan dalam arena perbahasan,” jawab Abang Azlan ringkas.

“Maksud abang… saya perlu masuk perbahasan untuk merebut peluang peratus kokurikulumkah?” tanyaku dengan nada terkejut.

Pertanyaanku dibalas dengan anggukan.

“Masalahnya saya tak pandai berbahas,” luahku.

Abang Azlan tertawa. “Abang boleh tolong kamu berlatih. Lagipun, pemilihan untuk wakil perbahasan bermula minggu hadapan. Kalau berlatih sekarang, insyaALLAH kamu boleh mewakili sekolah.”

“Sungguh, bang! Saya runsing sekarang ni. Saya risau kalau yang dikejar tak dapat, akademik yang digendong berciciran,” aku mengeluh lagi. Entahlah, sejak akhir-akhir ini aku banyak mengeluh seolah-olah aku tidak tabah menempuh ujian ALLAH SWT.

“Addin, dalam 4A ni kita bukan saja berkumpul untuk memboikot golongan aspuri yang ‘kita tak boleh terima perangainya’. Malah, dalam kumpulan ini juga kita berkumpul untuk saling membantu,” nasihat Abang Azlan. “Di sini abang ada satu doa yang baik untuk kita amalkan jika dalam keadaan runsing.”

“Oh, ayat ni dah lama saya hafal! Tapi tak tahu pula ia dibacakan ketika runsing.”

“Ayat ni bukan saja untuk orang yang runsing. Banyak lagi kegunaannya seperti jika kita tidak terdaya melakukan sesuatu pekerjaan dan sebagainya,” jelas Abang Azlan. “Hmm… tak lama lagi waktu rehat tamat. Sebelum masuk ke kelas, abang nak tambah kata-kata abang tentang ‘sikap anti kita’. Ingat, kita hanya anti kepada aspuri yang ‘berperangai tidak molek’. Yang baik-baik kita tak anti, cuma kita tak boleh dekati kerana masanya belum sesuai untuk bercinta.”

Selepas menghabiskan minuman, kami berdua meninggalkan kantin sekolah yang mulai lengang. Menurut Abang Azlan, aku akan dilatih berbahas mula pada petang ini ketika riadah. Syukur yang tidak terhingga kepada ALLAH yang mengurniakan senior seperti Abang Azlan kepadaku.

 bersambung....

No comments: